Sunday, 10 January 2010

RAMZI MENGAKU TIDAK BERSALAH

04 Jun, 2009 15:10 PM

Ahmad Ramzi Mengaku Tidak Bersalah Hantar
SMS Ugutan

KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Bernama) -- Ahli politik Datuk Dr Ahmad
Ramzi Mohd Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
hari ini terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui
SMS kepada tiga Anggota Dewan
Undangan Negeri Terengganu dua
bulan lepas.

Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri
Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya
di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak
RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport. Hakim Mohamad Khalid
menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di
E726 Jalan Kubang
Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa
melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan
kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak
menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap
Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu
yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25
malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak
melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara
11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad
Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah
dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd
Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web

http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon
bimbit 019-9158369
milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama
tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd
Yussof dan Andi Razalijaya manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam,
Rosli Abdul Rahman.

--BERNAMA--

RAMZI DITAHAN POLIS

Ramzi ditahan di hotel

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): Polis Terengganu menahan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir jam 8.30 pagi, semalam.

Difahamkan, beliau ditahan di sebuah hotel selepas tempoh tiga hari diberikan polis terhadapnya untuk hadir memberi keterangan sejak Jumaat lalu berakhir.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd Jamil, berkata tangkapan dibuat bagi melengkapkan kertas siasatan kes SMS ugutan bunuh membabitkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, polis turut merampas dua komputer riba dan sebuah modem dari rumah beliau di Kampung Kubang Parit kira-kira jam 3 petang kelmarin menggunakan waran geledah.

Katanya, Dr Ahmad Ramzi kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam

“Polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah serta Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian,” katanya di IPK Terengganu, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan.

Menurutnya, sebaik siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan lanjut termasuk mendakwa Dr Ahmad Ramzi.

Katanya, polis mempunyai bukti menunjukkan beliau terbabit dalam kes itu dan siasatan dijangka selesai dalam minggu ini bergantung kepada kerjasama diberikan.

Beliau berkata, siasatan dibuat setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh diterima tiga Adun BN terbabit iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Mohd Ariffin Abdullah (Paka) pada 13 April lalu bukan dihantar menerusi telefon bimbit milik Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar.

Pada 23 April lalu, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor serta merampas peralatan termasuk komputer peribadi lelaki itu digunakan untuk menghantar SMS berkenaan.

Polis sudah menubuhkan satu pasukan khas menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Sementara itu, di luar bangunan IPK, beberapa penyokong Dr Ahmad Ramzi kelihatan tenang berkumpul bagi memberikan sokongan kepadanya.

=====================================================

POLIS – DR RAMZI TERLIBAT

(Mutakhir) Sah, Dr Ramzi terlibat. Itu kata polis menurut laporan Utusan Online dan Bernama hari ini.Kenyataan itu dibuat Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil.Bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata mereka mempunyai bukti untuk mempercayai Dr Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu.

Menurut Bernama, polis turut merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem di rumah bekas pegawai kanan menteri besar itu di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu kira-kira 3 petang semalam.Pada 13 April lepas, tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS ugutan, antaranya dilaporkan berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

SMS itu dijadikan alasan 10 ADUN BN termasuk ketiga-tiga mereka yang menerima SMS itu enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu pada keesokan hari.Hamzah berkata, dengan penahanan Dr Ramzi, yang juga calon BN bagi parlimen Marang, polis yakin siasatan terhadap kes itu sudah 95 peratus selesai.

Beliau berkata ahli politik itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam.

"Sebaik siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes ini ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," Hamzah dipetik berkata.
Itu pendapat polis. Bagi saya sehingga orang yang dituduh dibuktikan bersalah, barulah boleh mengatakan seseorang itu bersalah.Orang yang sedang disoalsiasat tidak semestinya beliau bersalah atau boleh disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, persoalan bermain di kepala, kenapa beliau tidak mahu memberikan kerjasama lebih awal dan sedia disiasat sehingga menyebabkan polis mengeluarkan waran tangkap?
Jawapan ada pada Dr Ramzi sendiri.Bukan setakat tidak mahu bekerja sama dengan polis lebih seminggu tetapi tempoh tiga hari yang diberikan kata dua oleh polis pun, ‘dilanggar’ Dr Ramzi.

Akhirnya, dia tertangkap juga. Apa ‘kekebalan’ yang ada pada orang kuat Idris ini sehingga beliau sanggup ‘engkar’ arahan polis?Persoalannya, apakah Dr Ramzi seorang sahaja terbabit atau beliau hanya menjadi wayang kulit. Kalau begitu tok dalangnya siapa?

Tengah hari tadi, Dr Ramzi dibawa ke satu destinasi tidak diketahui selepas disoalsiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira tiga jam.Ironinya juga pelbagai laporan akhbar berbeza-beza apabila The Star Online dalam laporannya pada 12.05 tengah hari tadi mengatakan Dr Ramzi secara sukarela hadir (turns himself) di Ibu Pejabat Polis Terengganu untuk membantu siasatan.

Utusan Malaysia Online pada jam 12.01 tehgah hari pada laporan awal melaporkan Dr Ramzi Zubir hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama beberapa orang rakannya.Namun yang sah, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil mengesahkan penangkapan itu berkata, polis mempunyai bukti bahawa Dr Ramzi terlibat dalam penghantaran SMS yang mengandungi ugutan bunuh itu.

Utusan Online pada 1.48 petang ini melaporkan Polis Terengganu menahan Dr. Ramzi bagi membantu siasatan kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada pertengahan April lalu.
Dr Ramzi ditahan pada pukul 8.30 pagi ini sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Menurut Berita Harian Online Dr Ramzi yang baru sampai ke Terengganu pagi tadi dari Kuala Lumpur, terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, setelah polis semalam mendapatkan perintah waran tangkap terhadapnya apabila gagal hadir ke balai polis selepas tempoh tiga hari yang diberi kepadanya untuk berbuat demikian tamat jam 3 petang semalam.

Dr Ramzi yang dipercayai digari kemudian dibawa ke dua buah kereta dan kelihatan sugul.
Menurut beberapa wartawan, mereka dimaklumkan, Dr Ramzi dibawa ke destinasi yang tidak diketahui.


DR AHMAD RAMZI BEBAS DENGAN JAMINAN POLIS

Setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi dibebaskan pada jam 9.25 pagi tadi dengan jaminan polis selepas ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.

Dr Ramzi ditahan bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, bulan lepas telah dibebaskan pada pukul 9.30 pagi tadi.

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi semalam di sebuah hotel apartment sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan.

Sebelum Ahmad Ramzi ditahan, polis terlebih dahulu menggeledah rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini petang semalam selepas beliau gagal tampil sehingga pukul 3 petang dan merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem.

Dengan tangkapan Ahmad Ramzi itu, polis percaya siasatan kes berkenaan kini sudah 95 peratus selesai.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil pada sidang akhbar semalam memberitahu, Ahmad Ramzi ditahan selepas beliau gagal tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, sebaik sahaja siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut, termasuk kemungkinan mendakwanya di mahkamah.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah, dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah.

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Telekomunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian lain.

Ditanya kenapa siasatan kes itu memakan masa hampir sebulan, Hamzah berkata, kes itu adalah rumit, bersifat kompleks dan teknikal

sumber : hambali1.blogspot.com


RAMZI DIBERI 3 HARI TAMBIL BANTU POLIS

Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan

May 10, 2009

KUALA TERENGGANU: Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir diminta tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi diberi tempoh tiga hari sehingga Isnin untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan jika dia gagal waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

Beliau berkata, sehingga kini, Ahmad Ramzi yang kini mungkin berada di luar negara, belum tampil memberi keterangan kepada polis, walaupun sudah diminta berbuat demikian pada 25 April lalu.

Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle, talian 09-6246222 dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, polis sudah mencari Ahmad Ramzi di kediamannya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal mengesannya.

“Polis sudah selesai menjalankan kes dan hanya menunggu Ahmad Ramzi tampil memberi keterangan. Kita tidak menolak kemungkinan beliau berada di negara yang tidak diketahui, tetapi akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk semakan,” katanya, semalam.

Hamzah berkata, siasatan setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN itu bukan dihantar daripada telefon Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan kepada polis.

Hamzah meminta sesiapa yang mengetahui lokasi Ahmad Ramzi boleh menghubungi Polis Terengganu supaya dapat memanggilnya datang memberi keterangan.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi pada 23 April lalu serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi yang dipercayai untuk menghantar SMS berkenaan.

Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.

===========================================

Selasa, Mei 12, 2009

Polis mohon waran tangkap terhadap Dr Ramzi

KUALA TERENGGANU: Polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kerana gagal tampil bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), bulan lalu. Timbalan Ketua Polis negeri, SAC II Hamzah Mohd Jamil, berkata sehingga jam 3 petang ini, bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, masih belum memberikan keterangan walaupun sudah diberikan tempoh tiga hari untuk berbuat demikian. "Sebagaimana yang dimaklumkan dalam sidang media yang lalu, kita memberikan beliau tempoh tiga hari untuk tampil sebelum waran tangkap dikeluarkan dan tempoh itu berakhir pada jam 3 petang ini.
"Sehingga jam 3 petang tadi, belum ada tanda-tanda yang menunjukkan Dr Ramzi muncul atau datang memberikan keterangan berhubung kes itu," katanya di pejabatnya di sini, hari ini. Beliau berkata, polis akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen serta Interpol bagi mengesan Ramzi, yang juga adalah bekas calon BN pada pilihan raya umum lalu, sama ada masih berada dalam negara atau sebaliknya. Beliau turut meminta keluarga Ramzi serta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedudukannya, supaya menghubungi balai polis yang berhampiran.
Ramzi dicari polis kerana beliau adalah antara individu yang pernah mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga Adun BN iaitu Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lalu. Keadaan itu menyebabkan 10 Adun termasuk tiga yang menerima SMS itu enggan hadir ke sidang DUN Terengganu yang diadakan pada keesokan harinya, 14 April. Berikutan kes itu, polis menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 20 April lalu sebelum lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tujuh hari. - Bernama
Petikan Berita Harian Online

POLIS NAFI

Polis nafi cari setiausaha politik bekas MB

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Beberapa akhbar (selain keluaran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad) kelmarin memetik Mohd Fauzi sebagai berkata, polis mencari Ahmad Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu awal minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut menafikan laporan media yang memetik sumber dan mengaitkan lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis di sebelum ini dengan seorang daripada 10 Adun yang tidak hadir pada hari kedua sidang DUN minggu lalu.

Selasa lalu, polis menahan kerani itu di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi dari rumah lelaki itu.

SMS ugutan bunuh diterima Rosol yang juga Adun Ajil serta Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dihantar daripada nombor dikatakan milik pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

====================================================

APA MAINAN BERITA HARIAN

(Sembang Ahad) www.hambali1.blogspot.com

Apakah Berita Harian atau wartawannya cuba ‘membela kumpulan tertentu’ dalam krisis Terengganu apabila mengatakan polis menafikan mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.


Beberapa akhbar kelmarin (selain keluaran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad) memetik polis sebagai berkata, polis mencari Ahmad Ramzi bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu awal minggu lalu.

Selasa lalu, polis menahan kerani itu di Bandar Baru Bangi, Selangor dan merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi dari rumah lelaki itu.

SMS ugutan bunuh diterima Rosol yang juga Adun Ajil serta Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), dihantar daripada nombor dikatakan milik pegawai kanan di pejabat Menteri Besar.

Anehnya hari ini Berita Minggu melaporkan dari Kuala Terengganu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata beliau keliru dan terkejut apabila beberapa akhbar melaporkan polis mencari Ahmad Ramzi kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

Kita kini keliru:

1. Benarkah Mohd Fauzi menafikan semua laporan akhbar itu?

2. Benarkah akhbar membuat kenyataan salah?

3. Benarkah wartawan Berita Harian bercakap sendiri dengan Mohd Fauzi?

4. Atau jika pun Mohd Fauzi bercakap dengan wartawan berkenaan, apakah beliau bercakap mengenai berita atau gambar yang disiarkan oleh beberapa akhbar berkenaan.

Yang menghairankan, akhbar lain tidakpun menyiarkan kenyataan Mohd Fauzi. Apakah berita ini ekslusif?

Wah, bagus betul wartawan berkenaan.

Persoalan lain, kalaulah tidak benar pula penafian itu, Mohd Fauzi perlu ,memberitahu satu Malaysia beliau tidak membuat kenyataan itu.

Apakah Ketua Polis Terengganu, merestui kenyataan Mohd Fauzi? Apakah Ketua Polis Terengganu tidak tahu perkembangan siasatan mengenai kes sms ugut bunuh berkenaan?
Jika tidak benar, kenapa pula berita itu disiarkan?

1. Apakah kerana semalam hari Sabtu dan bos besar tidak di pejabat, berita berkenaan dilepaskan?

2. Apakah kerana wartawan berkenaan yang sering mendakwa kepada rakan-rakannya ‘rapat dengan Dato’ Manja Ismail’ (Pengarang Kumpulan BHSB) maka story beliau dilepaskan begitu sahaja?

3. Atau apakah wartawan berkenaan membawa suara seseorang atau kumpulan tertentu di Terengganu. Jika demikian, Berita Harian tidak lagi bebas dan menjadi ‘ejen kepada kumpulan tertentu?

Yang menariknya, Berita Harian turut menyiarkan kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang menafikan laporan media yang memetik sumber dan mengaitkan lelaki berusia 31 tahun yang ditahan polis di sebelum ini dengan seorang daripada 10 Adun yang tidak hadir pada hari kedua sidang DUN minggu lalu.

Soalnya polis mengatakan pihaknya sedang mengesan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 lepas, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, Ahmad Ramzi yang pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Rosol berkata, laporan itu menyebabkan wujud keadaan seperti ada konspirasi dalam kemelut politik negeri membabitkan 10 Adun berkenaan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Soal wujud konspirasi atau tidak serahlah kepada polis. Yang penting, apa bentuk siasatan dan keputusan jangan dipertikaikan.

POLIS CARI CALON BN

Polis Cari Calon BN Berhubung Kes Ugutan Melalui SMS

KUALA TERENGGANU, 24 April (Bernama) — Polis sedang mengesan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum tahun lepas, bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) BN baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata calon berkenaan dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Beliau dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga Adun itu menerima SMS ugutan berkenaan.

“Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada beliau turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Fauzi berkata polis telah berusaha mencari orang berkenaan di rumahnya tetapi tidak berhasil.

Pada 13 April lalu, Adun Ajil, Datul Rosol Wahid, Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) menerima ugutan SMS yang mengancam keselamatan mereka yang dipercayai berhubung isu polik di Terengganu.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.

Mohd Fauzi berkata perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.

“Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum mendapat petunjuk sama ada Adun-Adun di negeri itu terlibat dalam kes tersebut atau sebaliknya.

– BERNAMA

TIGA ADUN BUAT LAPORAN POLIS

Tiga ADUN buat laporan polis terima SMS ugutan

14/04/2009 10:33am

KUALA TERENGGANU 14 April — Tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis malam tadi setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kira-kira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Dalam SMS itu, katanya individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.

“Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat. Nyawa orang tidak boleh nak ugut, saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran,” katanya.

Abdul Halim berkata pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?.

“Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (Adun) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.

“Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini). Saya merasa amat terancam, saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.

Sebelum ini, dalam laporan sebuah akhbar, Menteri Besar memberi amaran keras untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memecat Adun BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada sidang DUN. — Bernama

10 ADUN TIDAK HADIR SIDANG DUN

14 April, 2009 12:34 PM

10 Adun BN Terengganu Tidak Hadir Sidang DUN

KUALA TERENGGANU, 14 April (Bernama) -- Sepuluh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu hari ini tidak menghadiri hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

Mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh Muhammad Ramli Noh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ketiadaan kesemua mereka pada sesi soal jawab pagi ini, yang dihadiri semua 10 anggota exco dan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan ia didominasi semua lapan Adun dari PAS. Hanya tiga wakil rakyat BN yang kelihatan menghadiri sidang Dewan pagi ini.

Tindakan kesemua Adun BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS berbentuk ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam semalam berhubung kemelut politik di negeri ini.

Isu itu dipercayai berlaku selepas Menteri Besar Datuk Ahmad Said membuat kenyataan untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat Adun BN, jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau.

Terengganu mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, lapan daripadanya diwakili pembangkang.

-- BERNAMA