Datuk Dr. Ramzi diberi tiga hari bantu siasat SMS ugutan
May 10, 2009
KUALA TERENGGANU: Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir diminta tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner (SAC II), Hamzah Mohd Jamil, berkata Ahmad Ramzi diberi tempoh tiga hari sehingga Isnin untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan jika dia gagal waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.
Beliau berkata, sehingga kini, Ahmad Ramzi yang kini mungkin berada di luar negara, belum tampil memberi keterangan kepada polis, walaupun sudah diminta berbuat demikian pada 25 April lalu.
Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkefle, talian 09-6246222 dalam masa terdekat.
Hamzah berkata, polis sudah mencari Ahmad Ramzi di kediamannya di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal mengesannya.
“Polis sudah selesai menjalankan kes dan hanya menunggu Ahmad Ramzi tampil memberi keterangan. Kita tidak menolak kemungkinan beliau berada di negara yang tidak diketahui, tetapi akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen untuk semakan,” katanya, semalam.
Hamzah berkata, siasatan setakat ini mendapati SMS ugutan bunuh yang diterima tiga Adun BN itu bukan dihantar daripada telefon Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu.
Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan polis dijangka selesai apabila Ahmad Ramzi memberi keterangan kepada polis.
Hamzah meminta sesiapa yang mengetahui lokasi Ahmad Ramzi boleh menghubungi Polis Terengganu supaya dapat memanggilnya datang memberi keterangan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang kerani berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta, di Bandar Baru Bangi pada 23 April lalu serta merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi yang dipercayai untuk menghantar SMS berkenaan.
Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes penyebaran SMS ugutan itu bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai.
===========================================
Selasa, Mei 12, 2009
Polis mohon waran tangkap terhadap Dr Ramzi
"Sehingga jam 3 petang tadi, belum ada tanda-tanda yang menunjukkan Dr Ramzi muncul atau datang memberikan keterangan berhubung kes itu," katanya di pejabatnya di sini, hari ini. Beliau berkata, polis akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen serta Interpol bagi mengesan Ramzi, yang juga adalah bekas calon BN pada pilihan raya umum lalu, sama ada masih berada dalam negara atau sebaliknya. Beliau turut meminta keluarga Ramzi serta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedudukannya, supaya menghubungi balai polis yang berhampiran.
Ramzi dicari polis kerana beliau adalah antara individu yang pernah mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga Adun BN iaitu Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lalu. Keadaan itu menyebabkan 10 Adun termasuk tiga yang menerima SMS itu enggan hadir ke sidang DUN Terengganu yang diadakan pada keesokan harinya, 14 April. Berikutan kes itu, polis menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor pada 20 April lalu sebelum lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas direman selama tujuh hari. - Bernama
Petikan Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment