Sunday, 10 January 2010

SEBUTAN SEMULA KES

Sebutan semula kes Dr Ahmad Ramzi
27 September

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 September
ini untuk sebutan semula kes Setiausaha Politik bekas Menteri Besar
Terengganu Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir yang menghadapi
empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS.

Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim menetapkan tarikh itu selepas kes
berkenaan disebut semula hari ini.

Sebelum itu, prosiding hari ini dimulakan dengan peguam Wan Zainudin
Wan Musa memohon kepada Hakim Mohamad Khalid untuk menjadi
peguam pemerhati kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar
Terengganu Wan Ahamad Wan Muda yang kemudiannya dibenarkan
oleh mahkamah.

Datuk Hazman Ahmad, seorang daripada tiga peguam yang mewakili
Ahmad Ramzi, kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa
pihaknya pun telah menerima sebahagian besar dokumen berkaitan
siasatan kes itu dan meminta selebihnya agar dapat diserahkan segera.

Selain Hazman, Ahmad Ramzi turut diwakili oleh Rosli Abdul Rahman
dan Mahamed Noor Mahmud.

Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz @ Juned berkata dokumen
siasatan berkaitan syarikat telekomunikasi Maxis mengambil sedikit
masa untuk disediakan sebelum dapat diserahkan kepada pihak
pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726
Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, Ahmad Ramzi didakwa
melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan
kematian kepada ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah, dengan niat hendak
menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Adun
Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama,
dan juga terhadap Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, pada 11.25 malam di
tempat dan pada tarikh yang sama.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak
melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara
11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad
Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah
dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin,
Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh
tidak lebih dua tahun atau denda atau keduaduanya, jika sabit kesalahan.
BERNAMA

sumber : http://mstar.com.my

No comments:

Post a Comment