04 Jun, 2009 15:10 PM
Ahmad Ramzi Mengaku Tidak Bersalah Hantar
SMS Ugutan
Ramzi Mohd Zubir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
hari ini terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui
SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu dua
bulan lepas.
Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri
Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya
di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.
Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak
RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport. Hakim Mohamad Khalid
menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di
E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa
melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan
kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak
menyebabkan kegentaran kepadanya.
Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap
Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu
yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25
malam di tempat dan pada tarikh yang sama.
Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak
melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara
11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad
Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah
dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd
Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web
http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon
bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama
tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd
Yussof dan Andi Razalijaya manakala Ahmad Ramzi diwakili peguam,
Rosli Abdul Rahman.
--BERNAMA--
No comments:
Post a Comment